Monday, June 9, 2014

Sukaneka Malaysia 2014

7 June 2014
Stadium Sultan Qaboos


Buat julung kalinya, rakyat Malaysia di Muscat, Oman berkumpul bersama untuk menjayakan Sukaneka Muscat 2014. Sukaneka yang disertai oleh lebih kurang 200 peserta ini telah diadakan di Kompleks Stadium Sultan Qaboos.

Acara bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran peserta. Peserta-peserta telah dibahagikan kepada empat kumpulan – “Belacan”, “Budu”, “Tempoyak” dan “Cencaluk”. Setiap kumpulan yang mempunyai ketua kumpulan masing-masing akan dikumpulkan bersama untuk diberi taklimat dan strategi bagi mengutip markah sebanyak mungkin.



Acara sukan pertama dimulakan dengan larian ikat tali di kaki. Ini adalah acara campuran antara kanak-kanak dan dewasa diikuti dengan acara tiupan belon.


Acara dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada Ybhg. Duta Besar Malaysia, Dato’ Rostam Yahya untuk memberi ucapan. Dalam ucapan, beliau berbangga kerana dapat bersama untuk menjayakan sukaneka ini. Ini adalah acara terakhir beliau bersama rakyat Malaysia sebelum mengakhiri khidmat selama tiga tahun di Oman. Ucapan beliau disudahi dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dan pemberian cenderahati kepada pihak wakil Kompleks Stadium Sultan Qaboos.


Acara sukan diteruskan kemudiannya. Kibaran bendera/sepanduk yang direka oleh peserta setiap kumpulan kelihatan berkibar bersama sorakan sokongan pada setiap kali acara bermula. Walaupun saingan kumpulan markah agak sengit antara satu sama lain, namun dengan semangat ikatan dan kesukanan yang tinggi, setiap peserta bekerjasama untuk meraih markah bagi kumpulan masing-masing.



Sebanyak sepuluh acara sukan telah dimainkan. Semua acara sukan berakhir pada jam 2.00 petang  dan diikuti dengan penyampaian hadiah. Kumpulan Cencaluk telah menjadi juara keseluruhan dengan diikuti oleh kumpulan Budu, Belacan dan Tempoyak.



Rakyat Malaysia di Oman ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Pihak Jawatankuasa Sukaneka 2014 yang telah bertungkus lumus menjayakan acara ini. Acara sukaneka ini walau pertama kalinya diadakan, namun ia telah berjalan dengan lancar dan jayanya.




Terima kasih juga diucapkan kepada Pihak Kedutaan Malaysia di Oman khusus kepada Duta Besar Ybhg Dato Rustam Yahya dan Ybhg Datin Musrifah Sapardi yang sentiasa memberi sokongan kepada rakyat Malaysia bagi menjalankan apa jua aktiviti dan acara di sini.

Tahniah dan terima kasih juga kepada yang hadir untuk memberi sokongan bagi menjayakan acara ini. Ini bukanlah acara sukaneka yang pertama dan terakhir kerana Pihak Jawatankuasa Sukaneka telah berjanji akan mengadakannya lagi pada setiap tahun.

No comments:

Post a Comment